Hikmah pengharaman arak menurut islam

      Sebagai negara majoriti orang Islam, gejala minum arak tidak seharusnya berlaku, terutama       dalam kalangan umat Islam.

Namun, dapatan kajian menunjukkan masalah ini berlaku, malah lebih mengejutkan ia turut membabitkan pelajar dan generasi muda. Ini hakikat sukar diterima kerana hukum minuman memabukkan jelas di sisi Islam, iaitu haram.

Ketegasan Islam mengharamkan arak kerana kemudaratannya adalah satu bentuk peraturan bersandarkan justifikasi kukuh dan rasional.

Dalam al-Quran, minuman memabukkan dirujuk sebagai khamr. Dalam surah al-Maidah ayat ke-90, Allah SWT menggambarkan khamr sebagai al-rijs, iaitu kotoran atau najis yang termasuk dalam perbuatan syaitan dan pencetus permusuhan (al-'adawah) dan benci-membenci (al-baghda').

Justifikasi pengharaman arak turut disokong kajian ketika mengaitkan kesan bahaya pengambilan arak ke atas peminum dan persekitaran peminum serta masyarakat keseluruhan.

Ini termasuk kesan sosial dan ekonomi. Kesan sosial merujuk kos terpaksa ditanggung masyarakat dan persekitaran peminum, sekali gus tidak secara eksklusif ditanggung peminum arak sahaja.

Kos sosial lebih menjurus kepada kesan terhadap kesejahteraan masyarakat seperti kemalangan jalan raya, masalah di tempat kerja, kemiskinan, kesihatan, keganasan rumah tangga dan kegagalan melaksanakan peranan sosial terhadap keluarga.

Seterusnya, kesan sosial akan memberi impak negatif terhadap aspek ekonomi secara keseluruhan. Hal ini wujud kerana aspek sosial ialah unsur penting yang boleh mempengaruhi produktiviti dan mutu penghasilan kerja masyarakat serta negara.

Di negara ini, dapatan kajian dan kutipan data dibuat oleh Assunta, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) turut senada dengan dapatan kajian dilakukan pada peringkat antarabangsa.

Selain memburukkan isu kemiskinan dan menyebabkan rumah tangga porak peranda, pengambilan arak juga antara penyebab berlaku kemalangan jalan raya di negara ini.

Menurut MIROS, pemandu mabuk 13 kali lebih berkemungkinan menyebabkan kemalangan berbanding pemandu tidak di bawah pengaruh alkohol.

Menurut statistik PDRM, bagi tempoh 2014 sehingga 2018, sebanyak 637 kematian berpunca kemalangan membabitkan pemandu memandu di bawah pengaruh alkohol direkodkan.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 yang dibuat oleh Institut Kesihatan Umum KKM, 11.8 peratus penduduk mengambil alkohol dengan 45.8 peratus mengambilnya secara mudarat atau sehingga mabuk.

NHMS 2019 turut melaporkan pengambilan alkohol juga menjadi penyebab kepada kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini, iaitu 17.6 peratus lelaki dan wanita (10.9 peratus); sirosis hati (lelaki 16.8 peratus dan wanita 16.2 peratus) serta kanser (lelaki 2.2 peratus dan wanita 0.6 peratus).

Terdapat data kemasukan ke hospital di bawah KKM menunjukkan 48 peratus daripadanya akibat kecelaruan mental dan tingkah laku berpunca pengambilan substan psikoaktif berpunca pengambilan alkohol.

Islam mengharamkan penganutnya meminum arak. Meskipun al-Quran mengakui manfaat yang ada pada arak, ia juga menegaskan mudarat terhasil daripada pengambilan arak lebih besar.

Hikmah pengharaman arak mempunyai kaitan dengan aspek penjagaan akal atau hifz al-aql yang terkandung dalam maqasid (tujuan) syariah.

Apabila manusia hilang kewarasan akal, pelbagai kesan buruk akan timbul. Daripada hanya kesan terhadap penjagaan akal, kemudaratan arak menular kepada aspek penjagaan agama, keturunan, jiwa dan harta.

Di sini impak negatif pengambilan arak dimanifestasikan, antara lain menerusi keganasan rumah tangga, kemalangan jalan raya, kemiskinan, pergaduhan, masalah kesihatan dan masalah prestasi kerja.

Dengan kata lain pengharaman arak oleh Islam bersandarkan justifikasi kukuh, rasional dan boleh diterima orang berakal waras tidak mengira agama.

Arak boleh menghilangkan maslahah atau unsur kebaikan dalam kehidupan manusia. Mungkin sudah tiba masanya kita melihat kembali aspek perundangan syariah dan sivil, peraturan penjualan dan penguatkuasaan berkaitan arak untuk melihat ruang yang boleh ditambah baik.

Ia untuk memastikan isu pengambilan arak dalam kalangan masyarakat dapat ditangani demi mewujudkan bangsa sihat dan sejahtera.

No comments:

Post a Comment

Kenapa Arak Diharamkan?

Hai assalamualaikum ,  kami dari kumpulan 4 akan menerangkan tentang kenapa arak diharamkan?